Saban tahun kita dikejutkan oleh kejadian bencana alam yang meragut banyak nyawa serta memusnahkan sejumlah besar harta benda. Bencana alam itu terjadi dalam bentuk ribut taufan, gempa bumi, letusan gunung berapi, banjir besar, kebakaran hutan, kemarau panjang, jerebu dan sebagainya. Bencana besar juga berlaku dalam bentuk penyakit berjangkit yang sukar diatasi seperti selsema burung, HIV/AIDS, serangan serangga perosak tanaman dan banyak lagi. Sejak akhir-akhir ini bencana tersebut nampak semakin kerap dan lebih besar daripada biasa. Ia juga melanda kawasan yang belum pernah di landa sebelum ini.
Sebagai orang yang beriman, kita sentiasa dianjurkan supaya memerhatikan keajaiban alam ciptaan Allah SWT. Firman Allah bermaksud :-
“Dia (Allah) menundukkan (memudahkan) bagi kamu apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi (sebagai kurnia) daripadaNya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.” (al-Jathiyah: 13).
Apabila berlaku bencana besar kepada alam ini, pemusatan fikiran kita bukan hanya kepada banyak mana kemalangan jiwa atau kerugian harta benda yang terlibat, malah kepada sebab musabab yang membawa kepada bencana tersebut. Kita mungkin terfikir apakah bencana ini merupakan fenomena alam semulajadi atau ianya suatu bala yang ditimpakan ke atas manusia.
Ilmu manusia tentang rahsia alam amat terbatas. Melalui bantuan peralatan yang canggih mungkin kita mampu mengesan kelajuan angin, pergerakan awan, getaran bumi, ketinggian ombak dan lain-lain fenomena lagi. Namun, manusia tidak mampu menafsirkan kenapa angin bergerak pada kelajuan tertentu, kenapa bumi bergetar pada skala tertentu atau kenapa ombak bergelombang pada ketinggian tertentu. Persoalan ‘kenapa’ ini tidak mungkin dapat dijawab kerana ia adalah urusan Allah SWT. Kita hanya mampu meramalkan pada tahun 2007 ini akan berlaku gejala elnino. Namun, sudah ada yang menyanggah.
Allah SWT mengutus al-Qur’an untuk dibaca, diteliti diambil pengajaran dan dilaksanakan. Kisah-kisah di dalam al-Qur’an ada menceritakan tentang beberapa kaum atau umat nabi-nabi yang terdahulu yang ditimpa bencana yang dahsyat sehingga ada yang terus berkubur bersama-sama tamadun yang mereka bina. Kesan-kesan peninggalan yang wujud sehingga hari ini menjadi bukti kebenaran kisah al-Qur’an itu. Kaum Nuh di sekitar Iraq dan Mesir musnah dalam banjir dan ribut taufan. Kaum Lut di Sadum musnah setelah diterbalikkan bumi dan bertukar menjadi Laut Mati. Kaum Tsamud mati di dalam kota-kota yang dipahat di dalam bukit-bukit batu akibat bayu pembunuh yang dikirim oleh Allah SWT kepada mereka.
0 comments:
Post a Comment